Keluarga Tersayang

Keluarga Tersayang

KESAYANGANS

IKLAN

Khamis, 11 Jun 2015

Percutian dalam hutan. Hihi.

Assalamualaikum.

Cuti pertengahan tahun ini kami tidaklah sebenarnya bercuti kemana2. Sekadar menumpang di 'apartment' Pusat Kokurikulum Negeri Selangor.

Alhamdulillah anak2 berpuas hati sebab ada kolam renang saiz olimpik. Hihi. Depa nnk main je.

Yang menghalang adalah makanan la. Susah sikit nak dapat sebab tender makanan ikut program. Dan org yang tak ikut program takkan nak makan sekali kan? Tak patut... Tak patut...

Ya udah jom tengok gambar.

Isnin, 1 Jun 2015

Mak pergi jua....

Assalamualaikum.

Berabuk tebal berapa inci tataulah blog aku ini. Salam buat semua sahabat. Apa khabar? Harap sihat sejahtera selalu ya.

Berita sedih, pada 19 Mei yang lalu, mak pergi tinggalkan kami buat selama-lamanya. Walau pun sedih, kami redha. Dapatlah mak berehat dan berakhirlah penderitaan mak yang keluar masuk hospital sejak 5 tahun kebelakangan ini.

Mak pergi setelah lebih kurang dua minggu keluar hospital. Sebelum masuk wad, mak demam, mak minta tolong kak Om pembantu mak call semua anak2nya. Dan panggilan mak mengumpulkan anak2 perempuan mak... kakak2 dan adik aku. Kakak bawa mak ke klinik. Demam. Tapi tangan mak macam ada kena strok kecil. Keesokan harinya abang Adi dari Teluk Intan pula datang. Katanya keadaan mak agak teruk. Macam kena strok. Dia terus bawa mak ke hospital.

Sampai di hospital, mak dimasukkan ke wad kecemasan. Dan abang sulung aku panggil kami adik beradik supaya datang tengok mak. Keadaan mak masa tu tenat. Jantung sgt lemah sbb paru2 byk air. Jantung kerja kuat. Mendengar kata2 abg Atan... Sebenarnya...Kami belum bersedia. Sampai bila pun kita takkan pernah bersedia untuk kehilangan mak kita sebenarnya. Kan???

Tapi mak masih bertahan. Kuat semangat juangnya. Mak dipindahkan ke high depency ward. Semakin hari keadaan mak semakin baik walau pun adakalanya paras karbon dioksida agak tinggi. Mungkin kerana di hospital, segalanya terjaga. Tambahan pula mak dipaksa berpuasa. Puasa makan tu tahan lagi, siap puasa minum. Kerana puasa minumlah aku perhatikan sikap mak agak kontra dengan sebelum ini. Sebenarnya mak jenis disiplin. Disiplin ubat, dengar cakap doktor dan jururawat.

Kerana puasa minum inilah aku dan adik beradik aku dimarahi mak ketika melawatnya. Meminta disuapkan air. Sedih sangat. Puas kami pujuk jururawat tapi mereka tak dapat izinkan. Setiap kali datang, aku tidak betah berlama2, kerana ada saja permintaan mak yang tidak dapat aku tunaikan dan itu buat aku bertambah sedih.

Selepas seminggu akhirnya mak dibenarkan keluar. Dengan pesanan doktor jantung mak sudah sangat2 lemah. Kami bersetuju supaya mak tinggal sementara di rumah abg Atan. Kerana lebih mudah dia nak perhatikan sakit mak. Dan jarak hospital yang sangat hampir dengan rumahnya.

Biarlah dengan tinggal dengan abg Atan mak tidaklah sesunyi di Padang Jawa. Sekurang2nya setiap kali dia bangun tidur, anak lelaki sulungnya ada di depan mata. Di Padang Jawa walau pun rumah sendiri tiada anak2 bersama.

Setiap minggu kami adik beradik bergilir2 ziarah mak. Sehingga anak buah aku cucu sulung mak yang belajar kat Jambi Indonesia pun mengambil kesempatan pulang untuk jumpa tok. Minggu terakhir, hanya aku sekeluarga yang datang.

Muka mak nampak lain, aku perasan kakinya agak semacam saja serta berbintik2 dan bertanya abg Atan, mak sudah tidak berjalan langsung ke. Jawapannya ya. Sejak keluar wad mak memang tidak mampu berjalan lagi.

Masa aku bersama mak, Firuz yang beria2 bergambar. Mak pula sekejap sekejap sahaja bangun dari tidurnya.

Kemudian pada tengahari Selasa abg Atan maklumkan di kumpulan WA adik beradik mak demam. Dia balik hantar lunch pada mak. Katanya temperature agak tinggi. Masa tu aku dah terjerit panggil mak.

Kemudian nak jadikan cerita selepas anak2 balik sekolah agama, telefon aku baterinya kong. Puas aku charge tapi still tak boleh hidupkan.

Jam 9, barulah aku mendapat khabar mak sudah tiada.

Hancur luluh hati.

Remuk redam.

Punah.

Bintang hati yang utama telah tiada.

Tinggalkan aku buat selama-lamanya.

Aku bersiap ala kadar. Sebenarnya dah tak mampu fikir apa nak siapkan. Yang penting2 saja seperti baju, susu dan lampin si Firuz. Yang lain2 ada stok kat rumah mak. Kami bergegas ke Cheras. Ada Kak Aton dan Azah di sana.

Aku sempat jumpa mak di tempat mak menghembuskan nafas terakhir.

Mak.... Kenapa tinggalkan Aida?

Ku cium dan hidu sepuasnya bau mak. Terutama yang antara bawah lengan dan bahu. Ya. Bau ketiak mak. Bau mak kegemaran aku. Selalu dulu masa balik sekolah, itulah yang kucari. Bau ketiak mak. Cukup mendamaikan. Menenangkan.

Cerita anak saudara yang bersama mak di saat akhirnya. Mak mula bernafas dengan tersekat2 sambil mengucap sebelum Maghrib lagi. Seiring azan Maghrib mak pun telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Kami bersepakat membawa jenazah mak pulang ke Padang Jawa. Sesampainya di Padang Jawa, kak Ana sudah menunggu. Tidak lama kemudian, abg Adi sekeluarga telah sampai dari Perak.

Malam itu kami tidak tidur. Kami mengambil giliran membacakan mak Al-Quran. Inilah malam terakhir mak bersama kami. Kami tahu lepas ini rumah mak akan hilang serinya. Bintang yang bersinar telah tiada lagi.

Keesokan hari, jenazah mak dibawa ke masjid untuk diuruskan seawal jam 9 pagi. Kami 4 beradik perempuan bersama 2 menantu perempuan mak yang memandi dan menyiapkan pakaian terakhir mak. Saat hendak di tutup muka mak, sesudah kami semua mengucup wajah kesayangan kami, petugas masjid menegur, "Alhamdulillah, tersenyum di wajah arwah."

Kata2 petugas masjid itu bagaikan mengiakan kata2 kami di dalam hati. Wajah mak seperti tersenyum. Seperti sedang tidur. Tenang. Damai. Kami tidak berani menyatakan pada sesiapa kerana bimbang dikatakan mengada2kan cerita, tetapi teguran muslimah tersebut membuktikan kebenaran.

Banyak lagi yang istimewa semasa menguruskan jenazah mak. Antaranya badan mak sangat lembut. Seolah2 masih hidup. Senang kami dudukkan. Macam badan kita. Cuba picit lengan korang. Lembutkan? Macam tulah arwah mak. Walau pun mak meninggal pada hari sebelumnya. Sebab ada 'bunyi' masa jenazah mak tiba di Padang Jawa, takut keras sebab semalaman.

Alhamdulillah Allah permudahkan. Sudah lama mak sakit. Sudah lama mak menderita. Tamatlah kesakitan dan penderitaan mak selama ini. Selamat berehat mak. Semoga roh mak dicucuri rahmatNya. Amin.

Sabtu, 21 Mac 2015

Terima kasih mak!

Terima kasih mak di atas segalanya.

Tidak akan terbalas segala pengorbanan mak pada Aida.

Ya Allah Ya Tuhanku,
Kasihilah kedua ibu bapaku
Sebagaimana mereka mengasihiku
Ketikaku masih kecil,
Amin.

Rabu, 4 Februari 2015

Aku, guru dan pengakap.

Assalamualaikum.

Hai semua. Apa khabar? Harap2 sihat dan sentiasa berbahagia bersama insan tersayang.

Tajuk hari ini aku, guru dan pengakap. Tidaklah sinonim sangat. Tapi memanglah minat aku dari zaman sekolah.

Tapi dulu niat aku tidak kesampaian. Seringkali ada saja halangan. Aku tidaklah berputus asa. Walau kadangkala rasa cukup lelah dengan semua itu.

Iyalah. Ketika penglibatan di sekolah, tidak semua aktiviti dapat kusertai. Sebenarnya aku sangat teringin untuk menyertai semua aktiviti. Tetapi aku diberi had tertentu. Waktu itu aku tidak faham mengapa. Aku membezakan keadaanku bersekolah harian biasa dengan sekolah asrama penuh. Sudah tentu aku lebih banyak kekangan dan kekurangan.

Ketika aku mengikuti kursus diploma perguruan pula, aku tersenarai di dalam unit uniform puteri islam. Pada awalnya aku pasrah. Kebetulan pula aku menghafal lagunya. Kakakku sering menyanyikan padaku sejak aku kecil.

Tetapi aku tidak betah duduk bersenang2. Aku memgajak rakan2 sepasukanku berkawad. Ternyata mereka kurang menggemarinya.

Dan akhirnya aku merayu untuk menyertai pengakap. Sudah beberapa bulan. Aku terlepas membuat tempahan uniform. Bagaimana pun elaunku tetap ditolak. Entahlah. Sedang aku terpaksa menempah di luar dan membayar lebih dari sepatutnya.

Nasib badan!

Akhirnya aku tamat belajar. Dan menjadi seorang guru terlatih. Peluang aku untuk kembali mencambahkan minat semakin terbuka luas.

Seperti kata ibuku, panjatlah gunung mana, berkhemahlah seberapa lama pun yang aku mahu. Inilah masa yang sepatutnya aku lakukan semua itu.

Tetapi... Masalah orang kita ni... Bila ada yang bersemangat, berminat, pada pundak dia seoranglah tanggungjawab diserahkan.

Ya. Aku akui, bukan semua orang boleh memimpin. Sifat kepimpinan aku juga boleh dikatakan hampir tiada walau masa sekolah rendah dahulu akulah KETUA MURID. Hihi. Terberlagak pula. Yang aku ada hanya minat yang sangat mendalam dan semangat membara. Dan antara kelemahan aku, badan aku tidak fit. Aku cepat letih.

Tetapi pada pendapat aku, sebagai guru, kita perlu sentiasa berinovasi. Jika tidak tahu, usahakan sampai tahu. Janganlah bila dipertanggungjawabkan jawapan kita hanyalah alasan.

Saya tidak tahu lagu pengakap.
Saya tidak pernah jadi pengakap.
Saya sudah lupa ilmu pengakap.

Lupakah anda? Kita adalah guru?
Mungkin lebih telus jika anda menjawab begini....

Saya tidak tahu jadi guru.
Saya tidak pernah jadi guru.
Saya sudah lupa ilmu keguruan.

Nah setepek atas muka anda wahai guru.
Semua pun tak tahu.
Meluat pula aku. Haha.

Ya udah. Sampai jumpa lagi.

Maafkan salah silap keterlanjuran bahasaku.

Wassalam.

Isnin, 2 Februari 2015

Dugaan datang sebagai ujian

Assalamualaikum.

Beberapa minggu lepas aku mendapat ujian. Diuji dengan kehilangan beg kesayangan.

Terdapat di dalam adalah segala dokumen kerja. Memang rasa macam nak menangis saja. Almaklum aku dah siapkan semuanya.

Nak tak nak terpaksa mula dari awal. Dan terpaksa dedahkan nombor telefon aku pada parents. Terpaksa utk pengumpulan data. Punyalah lama aku jaga. Huhu.

Sedih lagi ni. Ni ada sekepim gambar. Contoh warna beg sandang aku tu. Dalam kenangannnnn.

Ahad, 4 Januari 2015

Aku lagi suka kau yang dulu

Iya.
Aku suka kau yang dulu.
Sewaktu kau masih bersamanya.

Sikap kau kini.
Ketika kau tidak lagi bersamanya.
Membuat aku terfikir.
Berjuta kali.

Patutlah begitu.
Padanlah begini.
Hampir semua terjawab.

Aku juga tahu sesuatu kini.
Kau tidak suka aku menghampiri.
Apatah lagi bertanya hal peribadi.

Ternyata aku tidak diperlukan lagi.
Baik. Mulai kini aku akan berdiam diri.
Tak usahlah dikau mencari lagi.

Khamis, 25 Disember 2014

Doa surut banjir

Allah selamatkan saudara-saudaraku sekalian. Amin. T_T

Isnin, 22 Disember 2014

13 Disember Hari Bersejarah

Assalamualaikum.

Hai semua apa khabar. Maaf tajuknya 13 Disember. Hari ini dah berapa Disember. Sekurang-kurangnya aku masih mencatatnya di sini, khas untuk tatapan korang.

Di dalam serba kekurangan (pada hemat aku), aku masih mahu cuba menghiburkan emak. Aku tetap berfikir, sudah lama emak terperuk di dalam rumah.

"Jika aku bawa anak2ku, emak bersama pembantu yang menjaganya keluar bersiar-siar di Taman Tasik Shah Alam, tidaklah mengeluarkan belanja yang terlalu besar," fikir hati aku optimis.

Aku masih sedar bahawa jarum penanda minyak telah mencecah kepada "E", dan aku juga mengeluarkan wang selit berjumlah RM25 dari beg telekungku. "Boleh dibuat mengisi minyak. InsyaAllah cukup sampai gaji nanti!", telah hati kecilku.

Hati aku terus optimis.

Sejurus selepas keluar dari rumah, langit menangis. Aku sedikit kecewa. Tetapi meneruskan niatku. Lantas berhenti di Caltex Seksyen 3 untuk mengisi minyak.

Aku pergi membuat bayaran dan menggunakan mesin atm, aku cuba menyemak baki mana-mana akaun yang ada. Alhamdulillah, ada sejumlah baki yang mencukupi. Cukup sangat kalau nak belanja mak makan petang itu.

Dalam hati aku tidak henti-henti memuji dan mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Sesungguhnya Dia Maha Pemberi Rezeki. (Ada cerita lain di sini, tapi dalam entri lain ya!)

Selesai saja mengisi minyak, aku didatangi seorang gadis. Dalam cuaca yang masih hujan lebat, gadis itu meminta tolong aku meminjamkan pembaris besi. Apabila aku bertanya masalahnya, katanya keretanya terkunci.

Habis ikhtiar mencari pembaris di situ, aku tekad hendak pergi beli sahaja di kedai berdekatan. Malu2, dan hampir menolak tawaranku, sempat mereka (sebenarnya mereka berdua) menitipkan ucapan terima kasih dan meminta maaf kerana mengganggu program aku petang itu. Aku berpesan supaya mereka terus menunggu dan berhati-hati.

Segera aku ke kedai runcit berdekatan. Malangnya tiada pembaris besi untuk dibeli. Aku bertawakal ingin meminjam pembaris besi peruncit tersebut. Aku pun menceritakan serba sedikit hal dua gadis tersebut.

Tetapi aku tersilap kerana tidak memandang sekeliling. Rupanya ada pelanggan lain, lelaki bersuara, "Takpe kak, biar saya pergi ke situ!". Hatiku dibalut rasa risau. Pembaris besi belum kudapatkan, sekarang lelaki ini mahu ke sana pula.

Aku bergegas ke kedai 24 jam berdekatan, meninggalkan wang RM20 sebagai jaminan dan meminjam pembaris besi milik kedai. Bergegas pula ke stesen minyak tersebut.

Rupanya lelaki tadi telah sampai. Dalam hati aku berdoa supaya dia bukanlah orang berniat jahat. Aku tidak optimis lagi seperti awal tadi, kerana dua gadis tersebut kelihatan naif, tiada kawan atau saudara berdekatan dan kelihatan putus harapan. Aku sempat berpesan supaya hati-hati dengan orang yang tidak dikenali.

Walau pelbagai usaha dilakukan, kereta gadis tersebut masih terkunci dengan enjin masih hidup. Buntu, aku lantas memohon bantuan idea atau cara di SAR dan SARbanz. Alhamdulillah. Respon cepat diterima, Uncle Tee Kunci Seksyen 2 datang membantu.

Dan kedua gadis tersebut memberitahuku supaya meninggalkan mereka di situ dan berjanji menghubungiku kemudian. Mereka simpati kerana rancanganku membawa emak dan anak-anak tergendala. Berulangkali mereka meminta maaf kerana telah membuat keluargaku menunggu lebih sejam!

Kami meneruskan perjalanan. Hujan pun sudah reda dan telah sampai ke tempat yang dituju. Tetapi masih tergendala kerana emak sakit perut lantas mahu pulang. Emak menyuruh aku membawa anak2 meninjau tasik sebentar dan kemudian kami terus pulang.

Keesokan harinya aku mendapat mesej dari gadis pertama yang menegurku. Mengucapkan jutaan terima kasih kerana aku sudi menemani mereka di situ. Alhamdulillah mereka selamat. Alhamdulillah, Allah gerakkan hati aku untuk keluar dalam keadaan aku yang kesempitan (pada fikiran aku).

Sebenarnya. Yang sempit adalah apa yang kita fikir. Kita rasa kita susah, kita rasa kita kekurangan. Jadi itulah yang menyekat kita. Berfikiran positif dan selalu bersangka baik terhadap Allah, insyaAllah kita akan menerima pertolongan dariNya melebihi 10, 20, 30, 40, 50 atau 60 kali ganda dari apa yang kita ada pada awalnya. InsyaAllah.

Alhamdulillah. Siap pun cerita ni. Nanti ada part 2, sort of part 2 la. Walau cerita lain sebenarnya. Kalau rajin. :-P

Sambil itu pesanku jangan lupa solat, jaga diri ya semua. Sayang sangat. Thanks sbb singgah baca.

Assalamualaikum.

Rabu, 17 Disember 2014

Adik dengan tokk..

Assalamualaikum.

Apa khabar semua? Lama benar rasanya tak mencatat apa-apa kat sini. Rinduuuu sangat.

Alhamdulillah. Aku dan anak2 sihat2.

Minggu ini nak train Firuz duduk taska sementelah mama pengasuhnya dah berhenti mengasuh. Pencen katanya. Ada masalah kesihatan. Kena selalu balik kampung dan macam-macam lagi alasannya. Nak tak nak kena terima keputusan dia. So carikan taska berdekatan tempat kerja. Senang nak tengok kalau ada apa2.

Sempena cuti sekolah ni, memang kami banyak melepak rumah mak. Tapi taklah terus duduk sana sebab ada aje urusan kerja. So setiap Jumaat kami dah tercongok kat Padang Jawa. Isnin petang atau malam baru kami beransur pulang.

So nak cerita adik Firuz punya touching dengan tok Peah. Memang lain sikit. Dia sangat rapat dan boleh ngam dengan mak. Aku tak ajar manja atau bodek pun. Tapi memang dia sgt mesra dengan mak. Sampai malam2 pun p cari lagi even mak dah tidur.

Tak faham kalau dengan mak Krz nape macam susah sangat nak ngam. Padahal selalu aje bawa jumpa. Padahal Tok Siti la yang menjaga dalam pantang. Sampai mak Krz sentap juga kadang2. Hihi. Nak buat macam mana, anak yang tak nak. Bukan aku ajar pun.

So kat bawah ni aku kongsikan sikit gambar2 sepanjang berada kat rumah mak. Maaf la lama tak update. Kat fon je boleh update sbb dah lupa paswed nak buka kat laptop. :-P

Sampai jumpa lagi. Jaga diri hiasi peribadi. Assalamualaikum. Mmuuahhh!

Jumaat, 28 November 2014

Rajin

Gambar minggu lepas ni. Rajin sangat aih!

Ahad, 26 Oktober 2014

Episod sakit mata.

Assalamualaikum.

Tadi semangat kemain nak taip. Sekali mai angin malas. Ahaha. Amfunnnnnn.

Now tepek gambar je la. Lapang2 nanti aku cerita. Tataaaa.

Jumaat, 3 Oktober 2014

Happy birthday!

Siapa yang dah sambut besday tahun ni?

Selamat ulang tahun kelahiran. Dari awal tahun sampai hujung tahun. Aku malas nak ucap. Bukan tak ingat tau. Hihi.

Yang biasa aku ingat semua akan aku ingat insyaAllah.

Semoga panjang umur, berbahagia, sihat, cantik/kacak, murah rezeki selalu. Amin.

Jumaat, 19 September 2014

Berdiri sendiri kali pertama!

Tahniah adik! Semangat ya tengok abang kakak lari2 main2 kat tepi kolam. Terus adik nak berdiri sendiri ya?

Alhamdulillah aku tidak terlepas peluang menyaksikan sendiri. Kalau boleh nak tengok semua kali pertama depan mata. Bukan melalui cerita orang. Semua pun nak macam tu kan?

Cerita penuh mengapa aku ada di kolam, nantilah ye. M. A. L. A. S. Ahaha.

Sampai jumpa.

Assalamualaikum

Rabu, 3 September 2014

Pertandingan Pakaian Beragam

Sempena kemerdekaan ke 57 tahun ini. Tengok gambar aje ye. Tak larat nak cerita.

Selasa, 2 September 2014

Roti Poket Doraemon

Sumber: Facebook

Bahan

 8 keping roti Gardenia

3 biji telur
Serbuk roti secukupnya
Minyak untuk menggoreng
Mangkuk kecil untuk menekap

Cara
1. Tekapkan mangkuk pada dua keping roti. Asingkan lebihan roti. Siapkan sehingga habis roti.
2. Pecahkan telur di dalam mangkuk. Pukul sedikit. Ketepikan.
3. Celupkan roti yang telah ditekap ke dalam bancuhan telur. Kemudian terus masukkan ke dalam bekas bertutup berisi serbuk roti. Ratakan.
4. Keluarkan dan ulang langkah 3 sehingga habis roti yang telah ditekap.
5. Ulangi langkah 3 untuk celupan telur dan lekapan serbuk roti pada semua roti tadi. Ini adalah untuk memastikan anda mendapat hasil yang memuaskan.
6. Panaskan minyak dengan api sederhana. Gorengkan. Balik-balikkan sehingga bertukar warna.
7. Roti akan mengembung dan bila telah garing boleh di angkat dan toskan minyak di atas kertas tisu.
8. Belah dua dan masukkan isi daging burgercatau sosej mengikut citarasa anda.
9. Sedia dihidangkan.

*anak2 saya makan tanpa inti

Blog Pertama

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails