Keluarga Tersayang

Keluarga Tersayang

KESAYANGANS

IKLAN

Sabtu, 28 September 2013

Temujanji dengan dot dot dot

Malam ini aku ada temujanji
Temujanji dengan Dot Dot Dot
Sebenarnya setiap malam
Aku mencurahkan segalanya

Malam ini aku ada temujanji
Kekasih pujaan hati
Yang aku amat rindui
Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Malam ini aku ada temujanji
Mengadu segala resahku
Tempat ku ucap segala syukurku
Yang Maha Melihat lagi Maha Mendengar

Ya Allah! Ya Karim! Ya Aziz! Ya Jabbar! Ya Ghafur!
Aku bersyukur Ya Allah,
Dalam kealpaan aku sering lalai dan terleka,
Engkau tetap ada untukku setiap masa,
Kurniakanlah hidayahMu dan rahmatMu dalam kehidupanku, pada keluargaku Ya Allah.

Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw serta sahabat dan keluarganya.

Walhamdulillahirabbilalamin. Amin.

Jumaat, 27 September 2013

Luahan bayi kepada ibunya

Ibu,
Memang benar,
Dikaulah malaikat pelindungku,
Di dunia ini.

Ibu,
Apabila aku dilahirkan,
Kita sama-sama tidak berdaya,
Aku terlalu kecil,
Dan kau terlalu lelah,
Kerana berhempas pulas berjuang,
Demi melahirkan aku dengan selamat.

Ibu,
Terima kasih daku ucapkan,
Di dalam kelelahanmu masih berbekas,
Dikau bingkas bangun,
Demi memastikan diriku tidak lapar atau dahaga,
Di dalam kesakitan kerana melahirkanku,
Dikau tetap tersenyum menyapa,
Dan menenangkanku dengan suara merdumu.

Ibu,
Terima kasih daku ucapkan,
Kerana memberi ruang keselesaanmu untukku.
Di katil tempatmu berehat dikau tempatkan aku,
Memastikan aku selesa dan sentiasa dekat denganmu.

Ibu,
Terima kasih daku ucapkan,
Kerana menguruskan segala keperluanku.
Kerjaku hanya menangis dan tidur. Tidur dan menangis.
Yang lain-lain semua dikau yang uruskan.
Makan pakaiku, berak kencingku, dan segalanya tentangku.

Ibu,
Terima kasih daku ucapkan,
Kerana dikau selalu berada di sampingku,
Walau urusanmu yang lain masih banyak dan tertangguh,
Aku tetap menjadi keutamaanmu yang nombor satu!

TERIMA KASIH IBU!

Khamis, 26 September 2013

Diam

Jumaat, 20 September 2013

Ikan goreng sambal

Goreng ikan. Tumis sambal. Curah sambal atas ikan. Tinggg. Siap!!!!

Khamis, 19 September 2013

Menang! Yeay!

Yeayyy!!

Fatin menang!!!

Tempat pertama!!!

Dapat bayangkan betapa kepocinya dia kan. Bercerita itu ini. Hihi.

Medic card. Satu keperluan atau.....

Assalamualaikum.

Beberapa hari lepas anak2 tak sihat. Risau sgt sebenarnya sbb sakit yang berlain daripada sebelum2 ni.

Nak ke hospital kerajaan, padah la menunggu. Dgn depa sakit, dengan aku masih dalam pantang.

Nak ke klinik, dapat aku boleh bayangkan ubat yang diberi. Sama setiap kali.

Dan lagi satu kalau boleh nak proper punya checkup. Aku dulu sakit tapi tak pernah pun check yang betul2. Sekadar ke klinik je.

So aku fikir inilah masa nak gunakan medic card yang konon2 sgt menguntungkan tu. Memang berbaloi2 pun. Tapi aku tetap tak boleh nak sediakan deposit tu.

So dalam kes aku ni sama la juga. Tetap tak dapat kemudahan yang berbaloi2 tu. Setakat seratus dua mana lepas nak deposit hospital swasta. Tambah pula dua org sekaligus.

Memanglah akan dapat balik. Ibarat nak masuk hotel la kata orang. Bayar dulu. Tapi... Aku saja2 memang aku tak masuk hotel. Selama ini hotel2 yang aku jejak kaki semuanya org bayarkan atau dibayarkan siap2. Haha. Merapu dah.

Akhirnya, ke klinik. Dapatlah pcm, expactorant, antibiotik dsb. Tahan sedih melihat anak2 sakit 4-5 hari. Ya. Kena ada duit spare utk kes macam ni. Tapi asal ada duit je akan digunakan. Macam mana tu.

Bukan membazir kemana pun. Utk beli makanan aku. Lauk pauk. Sayur. 20 ringgit tak cukup sekali beli. Itulah selalu terusik simpanan tu.

Itupun aku rasa dah jimat banyak, sbb masak sendiri. Bukan lauk siap beli.

Alhamdulillah rezeki Allah bagi. Walau tak dapat nak guna kemudahan medic card tu, aku tak rasa membazir pun. Sekurang2nya aku tau dan nampak duit tu kemana. Maksud aku duit bayar bulan2 tu.

Oklah ye. Rasa nak taip lagi macam2. Tapi cukuplah sampai sini. Pada aku memang kita kena ada medic card ni. Bukan kerana tak yakin dengan Allah. Tapi sebagai langkah berjaga2. Sebagai simpanan kita. Dan sedikit sebanyak dapatlah membantu kita di kemudian hari. InsyaAllah.

Sampai jumpa lagi.

Assalamualaikum.

Rabu, 18 September 2013

Kailan Lobak Manis

Bahan

3-4 pokok kailan
Sebiji lobak
Semangkuk kecil ikan bilis (direndam)
2 sudu makan minyak zaitun
1 sudu teh garam

Cara

1. Bersihkan lobak. Potong bulat separa tebal dan potong empat.
2. Panggang di dalam pemanggang selama 2 minit dan balikkan. Panggang lagi selama 2 minit.
3. Masukkan minyak zaitun dan ikan bilis. Balik2kan pemanggang sebentar.
4. Apabila ikan bilis berbau harum, masukkan sayur, air dan garam.
5. Balikkan lagi pemanggang dan bolehlah ditutupkan api.
6. Sedia dihidangkan.

Selasa, 17 September 2013

Ayam bakar serai

Bahan

4 ketul ayam (dibersihkan)
3 cm halia (dihiris)
5 biji cili kering
2 batang serai (dititik)
5 keping daun limau (dipotong dua)
2 sudu sos bbq
1 batang lobak (dipotong kecil)

Cara

1. Ayam dipotong kecil dan diperap dengan sos bbq selama 1/2 jam.
2. Masukkan bahan2 lain dalam perapan dan gaul sekejap.
3. Masukkan dalam pemanggang ajaib dan bakar selama 5 minit.
4. Terbalikkan pemanggang dan bakar selama 5 minit lagi.
5. Sedia dihidangkan.

Ahad, 15 September 2013

Ayam sambal halia serai

Bahan

5 ketul ayam (dibersihkan)
2 inci halia*
3 batang serai*
3 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
2 sudu makan cili kisar
2 sudu tepung kastad
3 sudu tepung jagung
3 sudu teh garam
1 sudu makan gula
1 sudu makan susu pekat
2 mangkuk kecil air

Minyak untuk menggoreng/menumis

Cara.

1. Ayam dipotong kecil dan digaul dengan 2 sudu teh garam. Ketepikan.

Tumbukkan bahan bertanda *, ketepikan. Jangan terlalu lumat, separuh lumat lebih baik.
2. Ayak tepung kastad dan tepung jagung sekaligus.
3. Panaskan minyak di dalam kuali.
4. Golekkan ayam di atas campuran tepung dan terus goreng dengan api sederhana.
5. Apabila ayam sudah masak, angkat dan toskan minyak.
6. Panaskan minyak di dalam pan.
7. Tumiskan bahan tumbuk sehingga layu.
8. Masukkan cili kisar dan air. Tunggu hingga mendidih dan masukkan gula dan garam.
9. Apabila kuah memekat, masukkan susu pekat. Gaul sekejap bolehlah ditutup api.
10. Masukkan ayam goreng yang sudah ditoskan minyaknya. Gaul sehingga sambal mengenai keseluruhan ayam.
11. Sedia dihidangkan.

Sabtu, 14 September 2013

Sambal tumis ikan bilis

Bahan

1 mangkuk kecil ikan bilis (direndam)
1 labu bawang merah*
2 ulas bawang putih*
1 inci belacan*
1 mangkuk kecil air*

1 labu bawang besar (dipotong bulat)
2 sudu makan cili kisar
2 sudu makan gula
2 sudu teh garam
1 keping asam keping
3 sudu makan minyak

Cara

1. Kisar bahan bertanda *. Masukkan sedikit ikan bilis yang telah direndam tadi.
2. Panaskan minyak di dalam kuali.
3. Tumis bahan kisar sehingga naik bau dan warna bertukar keperangan.
4. Masukkan cili kisar. Kacau sehingga pecah minyak.
5. Masukkan gula dan garam serta asam keping, kacau lagi sekejap sebelum memasukkan baki ikan bilis dan bawang. (Kali ini saya tak letak ikan baki bilis dalam sambal, sebab family saya prefer ikan bilis goreng)
6. Tunggu sehingga bawang layu dan ikan bilis masak, sedia dihidangkan.

Khamis, 12 September 2013

Lawatan ke klinik

Sempena genap sebulan. Cucuk. Check. Berat dah 3.8kg. Membesar bagai johan. Very good adik.

Rabu, 11 September 2013

Tanda hati kotor

Jom check hati kita!

Saiz tapak kaki Firuz

So kalau ikut hari inilah ulangbulan Firuz yang pertama. Jom tengok saiz tapak kaki dia dibandingkan dengan tangan aku. Hihi. Nanti adik besar adik tengok ya.

Diam

Assalamualaikum.

Apa khabar semua hari ni? Harap sihat selalu. Aku dan anak2 syukur sihat setakat ini.

Gambar kat bawah ni seperti bukan aku. Almaklum konon jenis outspoken. Biasanya aku akan suarakan. Bila aku diam tu agaknya keadaan dah terlampau teruk, dan tak dapat nak dipulihkan lagi. Agaknyalah kan. Harap2 tak sampai macam tu ye.

Baik. Sampai kita jumpa lagi. Nak mula masak memasak.

Assalamualaikum.

Selasa, 10 September 2013

Lala rebus daun kunyit & serai

Bahan

500 gm lala (dibersihkan)
2 batang serai (dititik)
2 helai daun kunyit (diracik)
3 sudu teh garam
1 liter air

Cara

1. Masukkan semua bahan dalam periuk.
2. Rebuskan sehingga lala masak.
3. Sedia dimakan.

Genap sebulan.

Assalamualaikum.

Hai. Rentikanlah merapu ye tak? Haha. So hari ni 10hb September. Maksudnya genap sebulan umur Firuz. Lebih tepat 31 hari.

So kat fb dah niat nak publish gambar dia lepas habis pantang. Kat blog takde pula rasa nak pantang apa2. Hihi.

Jom tengok adik Firuz. Doakan adik jadi anak yang taat pada agama dan kedua ibubapa ya. Amin.

Sampai jumpa lagi.

Assalamualaikum.

Sudah cukup sudah.

Tajuk tak boleh blah.

Kata dah cukup kan.

Dah la.

Haha.

Memang vengong.

Isnin, 9 September 2013

Turun dari bantal...

Amboi adik. Tak selesa ke bantal tu? Siap turun sendiri bagai. Hihi.

Sambal udang petai

Bahan

1 biji bawang besar (diracik)
3 biji bawang merah (diracik)
3 ulas bawang putih (diracik)
1/2 kg udang (dibuang kulit)
200 g petai (dipotong 2@3-memanjang)
5 sudu makan cili kisar
2 sudu makan gula
2 sudu teh garam
Semangkuk kecil air
2 senduk kecil minyak

Cara

1. Panaskan minyak di dalam kuali.
2. Masukkan bawang. Tumis hingga wangi dan bawang layu.
3. Masukkan cili kisar dan air. Tumis sehingga cili masak.
4. Masukkan gula. Kacau sebentar.
5. Masukkan petai dan udang. Kacau lagi sehingga sebati.
6. Masukkan garam. Gaul sebentar sebelum masukkan susu pekat.
7. Gaul lagi sekejap dan bolehlah ditutupkan apinya.
8. Sedia dihidangkan.

Lempeng Horlicks

Bahan

2 cawan tepung
2 sudu makan gula
2 sudu makan horlicks
1 sudu teh garam
4 mangkuk kecil air

Sedikit minyak

Cara

1. Bancuhkan semua bahan kecuali minyak sehingga adunan sebati. Pastikan tidak terlalu pekat atau cair.
2. Panaskan frying pan dengan api sederhana atau kecil.
3. Letakkan setengah senduk kecil minyak. Golekkan pan untuk meratakan minyak dan tuang semula baki minyak ke dalam bekas lain.
4. Tuangkan adunan ke dalam pan dan ratakan dgn sudu.
5. Alihkan adunan setelah 4 hingga 5 minit.
6. Tunggu 3 minit lagi bolehlah diangkat.
7. Potongkan lempeng dan bolehlah dihidangkan dengan serbuk milo.

Jumaat, 6 September 2013

Siew Pak Choy Tumis Bilis

Bahan

4 pokok siew pak choy (dibersihkan)
3 biji bawang merah (diracik)
3 ulas bawang putih (diracik)
Setengah mangkuk kecil ikan bilis (direndam)
Secubit garam
2 sudu makan minyak

Cara

1. Sayur dipotong kecil. Ketepikan.
2. Panaskan kuali dan masukkan minyak.
3. Goreng ikan bilis dengan api sederhana.
4. Apabila sudah garing, masukkan bawang. Tumis sehingga wangi dan bawang layu.
5. Masukkan sayur. Kacau sekejap.
6. Masukkan garam pula kacau sehingga sayur masak.
7. Sedia dihidangkan.

Ayat yang pedih part 2

Tengok pada analytics hari ni, ada 2bkkli org view entry ayat yang pedih. So aku nak buat part 2 nak eksplen bab sekali hati terluka tu la. Bagi clearrr...

Jenis aku, aku suka buat tak tau. Macam ada seorang sahabat tu, memang aku buat tak tahu sampai aku tak sedar aku dibulinya.dah dekat 3 tahun baru aku sedar sikit2.

Paling jelas tahun ni la. Disaat aku memang tak larat sgt. Mengandung yg paling lembik. Mabuk sampai 9 bulan. Almaklum super lemah, jadi super sensitif. Super perasa.

So tahun ni memang aku terasa sgt dgn beliau. Baru aku sedar selama ini betapa aku jadi mangsanya. Betapa selama ini aku sering memaafkan dia. Aku terus berubah. Tak bercakap. Tak berbual. Melainkan yang perlu sahaja.

Sudah tentu dia perasan. Sekejap2 dia akan post status berkenaan sahabat di fb. Aku tetap je diamkan diri sampai sekarang. Memang hilang terus kemesraan yang dulu.

Tahu tak perasaan berulang kali dilayan macam bukan sesiapa?
Tahu tak perasaan berulangkali dilayan macam bukan insan yang disayang?
Tahu tak perasaan berulangkali tuduhan liar dilemparkan sesuka hati?
Tahu tak perasaan hati ditikam bertubi2, pulih kembali dan ditikam lagi?

Mati hati itu untuknya.

Dah tak boleh nak maafkan lagi. Bukan sekali atau dua kali. Berkali2. Sampai dah tak boleh nak lupakan lagi. Sampai dah tak boleh nak bercakap lagi. Sampai rasa macam dah tak boleh nak maafkan lagi. Sampai macam tu sekali.

Menangis aku masa taip ni. Tapi bukan masa ini saja. Sepanjang diperlakukan itu pun aku tak berhenti mengalirkan air mata. Berminggu minggu tak dapat melelapkan mata.

Bukan aku sengaja. Percayalah aku buka seorang pendendam. Tak. Aku suka maafkan salah silap org yang aku sayang. Tapi kalau dah layan aku sampai aku rasa TERHINA, bukan sekali... tapi BERKALI-KALI, maka aku akan diam. Diam sediamnya sampai siapa pun tak sangka aku akan diam macam tu.

Lebih baik macam tu. Lebih baik macam ni. Memang aku diam sangat. Hati masih syg tapi sayang lukanya tak boleh diubati lagi.

T_T

.
.
.
.
.
.

Mulut tecik tapi muncung tinggi!

Assalamualaikum.

Masa untuk membebel semula. Hihi. Minah tecik ni. Sejak terkejut ada manusia main mercun 2 minggu sudah, kerjanya nak menempek je ngan aku.

Tapi logik la kan. Nama pun baby. Dan aku pun memang nak cuti lama sebab nak jaga baby. Berbaloi2!

Jom tengok gambar dia ni. Aku dok bawah nak melipat kain. Biar dia atas katil. 2-3 kali terkejut. Nangis selak. Last2 ambik bantal, letak Firuz tepi aku.

Elok je dia tidur. Tergolek2 ke kiri ke kanan. Sebab dia pusinh kepala. Kelakar tengok. Perut ke kaki statik je. Yg kepala tu bertukar2 arah.

Muncung tingginyalah hai. Kan? Keturunan Tok Peah ni. Memang anak2 buah aku pun semua mulut gini. Sama. Hihi. Memang muncung keturunan la kan.

Ya udah. Sambung lipat kain. Boleh pulak sambil ngapdet. Nak kata apa lagi kan. Hujung jari je semuanya sekarang.

Sampai jumpa.

Assalamualaikum.

Khamis, 5 September 2013

Tenggiri pandan bakar

Bahan

1 keping isi ikan tenggiri (dibersihkan)
2 batang serai*
3 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
4 helai daun pandan
Secubit garam

Cara

1. Lumurkan garam pada ikan. Ketepikan.
2. Tumbuk bahan bertanda *.
3. Susunkan daun pandan bersebelahan satu sama lain.
4. Letakkan bahan yang ditumbuk pada sebelah bahagian ikan. Letakkan bahagian tersebut di atas daun pandan. (terbalikkan)
5. Letakkan baki bahan tumbuk di atas sebelah lagi bahagian ikan.
6. Lilitkan daun pandan dengan kemas. (saya lilit secara bersilang)
7. Masukkan dalam pemanggang ajaib. Bakar selama 15 minit.
8. Terbalikkan pemanggang ajain dan bakar selama 15 minit lagi.
9. Sedia dimakan bersama nasi panas.

Nestum Horlicks Bersusu

Bahan

2 sudu nestum original
1 sudu horlicks
1 sudu susu
200 ml air panas (segelas)

Cara

1. Masukkan nestum, horlicks dan susu ke dalam gelas.
2. Tuangkan air panas ke dalam gelas. Kacau hingga susu dan horlicks larut.
3. Hidangkan bersama 2 keping roti gardenia.

*minuman ini kaya dengan serat dan kurang manis. Sarapan yang lengkap dan mudah.Sesuai untuk yang sedang cuba mengurangkan berat badan.

Kerana pinggan...

Alkisah tajuk berhenti tu macam tak cukup. Ni kira part two lah ye.

Kisah pinggan 'on the run' yang sering aku gunakan untuk menghidang makanan turut menjadi tandatanya rakan2.

Mana taknya...ibaratnya aku ada banyak pinggan jenis ni. Berkeping2. Umpama tak punya pinggan lain kata depa. Hihi. Ada pinggan lain. Pinggan plastik. Kebanyakan yg ada kat rumah ni pinggan free. Hadiah.

Memang. Aku memang macam ni. Aku teringin juga nak benda2 yg biasa org pompuan suka. Aku sama je. Aku teringin rantai cantik yg Dian P Ramlee pakai dalam drama Cinta Jannah TV3 tu, aku teringin nak cantikkan rumah, nak set pinggan mangkuk, nak baju cantik2, nak tudung cantik2, nak kelihatan cantik....

Tapi keteringinan aku tu tidak akan menyusahkan org lain. Keteringinan aku tu juga takkan menyusahkan diri aku sendiri. So sekadar teringin. Tidaklah terselit bersama usaha untuk mendapatkannya.

Kerana apa? Kerana aku mengukur baju di badan sendiri. Memang mampu kalau aku nak. Tapi aku akan abaikan tanggungjawab aku sebagai anak dan kepada anak2.

Terbaru, nak dapatkan polisi insuran untuk baby Firuz. Untuk Fatin dan Rafiq dah buat. Takkan Firuz tak ada pula. Bayaran bulanannya dah naik. Naik banyak pula tu. Mampu ke aku nak teruskan?

Banyak juga kalau dihitung. Memikirkan tiada simpanan boleh dibuat, jalan terbaik teruskan sajalah. Tapi simpanan sebenar bukanlah seberapa banyak duit yg kita ada. Siapa tahu apakah simpanan sebenar kita di dunia ini?

Ya. Simpanan sebenar kita adalah sedekah kita. Itulah penyelamat kita pada hari kemudian.

Banyak betul aku fikir sejak kebelakangan ini. Jadi pemikir tegar sejak cuti panjang ni.

Rasa nak batalkan segala polisi yang ada pun ya juga. Kalau kukenang arwah bapa aku memang tak percayakan insurans ni. Sama la aku pun sebenarnya. Tapi entahlah... Terbuat juga...

Bila arwah abah kemalangan pada tahun 1985, mengakibatkan kecederaan kekal, memang kami sekeluarga kesempitan dari segi kewangan. Tapi syukur dilapangkan pula dari sudut lain.

Masa kecil aku tak berapa nampak perkara ni. Aku rasa kami adik beradik jadi matang. Tahu erti susah dan nilai wang. Kami tahu kami kena berusaha untuk mengubah hidup kami.

Tak ambil insurans pun rezeki tetap ada. Rezeki kurniaan Allah bukannya dari insurans tu. Memang aku sering membandingkan betapa beruntungnya kawan2 lain masa aku kecil dulu. Tapi mak sering titipkan ingatan bahawa ada org yang lebih susah dari kami.

Aku nak cuba dulu teruskan sampai hujung tahun ni, kalau dapat bertahan aku akan teruskan. Memikirkan simpanan tulah yang buat aku rasa ok sikit. Sikit je la. Aku lebih memikir macam arwah abah sebenarnya.

Krz pun hairan kenapa selama bertahun2 ni dia takleh nak yakinkan aku dan tetiba aku boleh nak ambil juga. Jawapannya simpanan. Dan yang aku punya ada pakej haji juga. InsyaAllah.

Dah jangan tanya aku lebih2 pasal insurans yg aku ambik tu. Mmg aku tak tau sgt. Harap2 syarikat tu menepati janji la kan. Selalunya banyak menipu je. Kata nak bagi bonus la lepas 3 tahun la, habuk pun tarak. Habuk pun tarak... Korang faham ke? Hihi.

So. Sebagai penutup. Berhentilah mengata2, memerli2 orang. Kalau boleh. Pilihan tetap di tangan anda. Aku perati je. Kadang mulut kata kawan, sayang, tapi perbuatan? Tu belum tengok hati lagi.

Apa pun, bagaimana teruknya pun aku terasa, aku kan tersenyum dan ucap Alhamdulillah. Tak yah risau aku takkan maki2 hangpa. Perli2 apatah lagi. Kalau tengok status aku yang pelik2 tu biasanya kesan tengok tv. Almaklum dah jadi penunggu tv kan. Hihi.

*sebenarnya ini luahan hati org dok kata aku takde pinggan lain ke selain 'on the run' tu... Tapi melalut ke insuran bagai.... :-P

Sampai jumpa lagi.

Salam sayang.

Assalamualaikum.

Berhentilah....

Dari terus menyakiti orang lain. Itu lebih baik pada aku. Daripada segala kepura-puraan.

Usah ditambah lagi kekeruhan yang ada. Kita pun bukannya tahu apa yang sebenarnya berlaku. Kita nampak permukaannya sahaja. Nampak tenang selalunya walau sesekali bergelombang. Sedang di dasar itu, penuh gelora. Bermacam2 yang tak terduga.

Kita tidak tahu apa jenis gelora itu. Kerana kita sombong. Ego. Hidup dalam kepura-puraan. Kita rasa kita baik. Cukup penyayang dan prihatin. Hakikatnya?

Secara tidak sedar, kita dah menyeksa insan lain. Kita dera dia. Not physically but mentally.

Jadi sebelum terjadi insiden tak kita duga... Eloklah kita berhenti. Berhenti dari terus menyakiti.

Biarlah beribu andaian, jutaan salah sangka... Apa jua keputusan yang diambil. Aku akan terus..... Terus begini.

Rabu, 4 September 2013

Ikan merah panggang

Bahan

2 ekor ikan merah (dibersihkan)
1 sudu teh garam
1 sudu teh kunyit
1/2 sudu makan mentega

Cara

1. Gaulkan ikan dengan garam dan kunyit. Biarkan seketika.
2. Panaskan pemanggang ajaib.
3. Oleskan mentega pada satu bahagian pemanggang ajaib.
4. Masukkan ikan. Pastikan api perlahan.
5. Setelah 10 minit, balikkan pemanggang. Tunggu lagi 10 minit sebelum ditutupkan api.
6. Gunakan senduk kayu untuk mengangkat ikan.
7. Sedia dihidangkan.

Selasa, 3 September 2013

Ayam merah lobak manis.

Bahan
4 ketul ayam (dibersihkan)
1 batang lobak (dipotong memanjang)
3 sudu makan tepung kastad
3 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
2 batang serai*
3 sudu makan cili kisar
2 sudu makan gula
1 sudu makan susu pekat
1 sudu teh garam
Semangkuk kecil air
Minyak untuk menggoreng/menumis
Cara
1. Ayam dipotong kecil. Digaul dahulu dengan sedikit garam dan kemudian tepung kastad. Biar sebentar.
2. Panaskan minyak di dalam kuali dengan api sederhana.
3. Sementara menunggu minyak panas, tumbukkan bahan bertanda *.
4. Goreng ayam selama 4-5 minit. Angkat dan toskan minyak di atas kertas tisu.
5. Di dalam kuali lain (saya gunakan frying pan), panaskan 3 sudu makan minyak.
6. Tumis bahan yang ditumbuk sehingga garing. Masukkan cili kisar bersama semangkuk kecil air serta lobak. Kacau sebati.
7. Apabila mendidih masukkan gula dan garam. Kacau lagi sehingga kuah memekat.
8. Masukkan susu. Kacau sebentar dan bolehlah dimasukkan ayam goreng tadi.
9. Boleh dihidangkan bersama nasi panas.

Isnin, 2 September 2013

Kari ayam pedas

Bahan

4 ketul ayam (dibersihkan)
1 biji ubi kentang (dipotong dadu)
4 sudu makan serbuk kari daging (bancuh dengan semangkuk kecil air)
2 sudu makan cili kisar
2 biji bawang merah (dihiris)
3 ulas bawang putih (dihiris)
1 inci halia (dipotong dua)
2 sudu teh garam
Semangkuk kecil air
4 sudu minyak untuk menumis

Cara

1. Ayam dipotong kecil. Ketepikan.
2. Panaskan kuali. Masukkan minyak.
3. Apabila sudah panas, tumis bawang dan halia sehingga wangi.
4. Masukkan bancuhan perencah kari daging.
5. Tumis dengan api kecil sehingga pecah minyak.
6. Masukkan cili kisar. Gaul sekejap sehingga sebati.
7. Masukkan 1/2 mangkuk kecil air dan ubi kentang.
8. Tunggu hingga mendidih dan masukkan ayam dan garam.
9. Kacau sekejap dan boleh tunggu sehingga ayam masak.
10. Bolehlah dihidangkan bersama nasi panas.

Ahad, 1 September 2013

Lempeng Nestum

Bahan

2 cawan tepung gandum
4 sudu makan nestum
2 sudu makan gula
1 sudu makan susu
1 sudu teh garam
4 cawan air
Semangkuk kecil minyak

Cara

1. Campurkan semua bahan kecuali minyak. Gaul sebati.
2. Panaskan kuali masukkan sesudu minyak dan ratakan pada keseluruhan permukaan kuali.
3. Sendukkan bancuhan tepung ke dalam kuali. Ratakan hingga menjadi bulatan.
4. Balikkan adunan setelah 3 minit. Tggu 3 minit lagi. 

*
Ulang langkah 1-4 sehingga habis bancuhan tepung.

5.  Angkat dan hidangkan bersama lauk pilihan hati. (saya Lq

Selamat Mencuba!

Blog Pertama

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails